AKAN DTG DI MALAYSIA NANTI PADA HARI BELIA 2013..SATU LAGU BERHARGA RM2.3 JUTA. |
Malam
tadi setelah keluar dari masjid seusai selesai solat Isyak di masjid
berdekatan dengan rumah, saya berjalan kaki seorang diri pergi ke sebuah
kedai makan untuk makan malam. Pengunjung di kedai makan yang saya tuju
itu agak ramai dan boleh dikatakan hampir kebanyakan meja di kedai
tersebut sudah penuh. Saya memilih untuk duduk di salah sebuah meja di
bahagian paling hujung seorang diri yang ketika itu tiada orang di meja
tersebut. Apabila pelayan datang saya pun memesan makanan yang saya
mahu. Selepas beberapa ketika pelayan tersebut pergi datanglah pula
seorang gadis muda berkulit cerah berjubah dan bertudung hitam gaya
wanita Arab ke meja saya seraya bertanya,
"Tuan, boleh saya duduk di sini..? Kamu lihat, tempat-tempat di meja lain semua sudah penuh.."
"Oh, ok.. tak mengapa. Silakan duduk.." jawab saya agak terkejut dengan sapaan gadis itu. Perbualan kami dalam bahasa Inggeris.
Kemudian
pelayan datang kepadanya dan dia hanya memesan 'fresh orange' untuk
minuman. Apabila pelayan pergi saya memberanikan diri bertanya kepadanya
dengan rasa pelik, "Kamu seorang diri sahaja? Dan kamu kelihatan bukan
orang Malaysia, bukan?"
Dia
mengangkat wajahnya dari telefon pintarnya ke arah saya lalu menjawab
dengan tersenyum, "Oh saya dari Korea Selatan, dan saya ingin ke rumah
seorang kawan.."
"Oh
Korea Selatan.. sekarang negara itu sedang 'famous' dengan tarian
Gangnam Style.." jawab saya spontan bersahaja sambil tersenyum dan
menganguk-angguk sendirian tatkala mata gadis itu kembali ke telefon
pintarnya sambil menggerak-gerakkan jarinya di atas skrin sesentuh dan
kadangkala dia juga tersenyum seorang diri melayan sesuatu dari telefon
pintarnya.
"Gangnam
Style..? Apa yang kamu tahu tentangnya.. ia tarian yang dilaknat Tuhan.
Saya menganggapnya diilhamkan oleh Iblis kepada artis itu." jawabnya
dengan nada yang tegas dan berani.
"Oh ok ok, minta maaf..saya tak bermaksud menyinggung perasaan kamu.." jawab saya serta-merta.
Perbualan
terhenti seketika beberapa lama. Selepas kira-kira 15-20 minit pelayan
kembali datang dengan membawa pesanan saya dan minuman gadis itu.
"Kamu mahu tahu apa yang saya tahu tentang Gangnam?" tanya gadis kembali itu kepada saya.
"Jika
kamu berminat untuk bercerita kepada saya, saya akan mendengarnya…"
jawab saya dengan tenang sambil mula menghirup jus tembikai susu yang
saya pesan.
"Ok
sekejap beberapa minit, selepas saya membalas mesej-mesej ini.."
jawabnya sambil jari-jemarinya ligat bermain di dada skrin telefon
pintarnya.
Saya
hanya mengangguk-angguk sambil mengangkat kening dan mula menyuap
makanan dengan sudu ke dalam mulut walaupun saya sedar bahawa memakan
dengan menggunakan tangan itu lebih menepati Sunnah Rasulullah SAW.
"Baik, sekarang saya akan bercerita tentangnya.. ia sesuatu yang menarik tetapi pelik dan menakutkan." kata gadis itu kembali.
"Ok, seakan-akan ada satu perkara besar yang kamu ingin sampaikan kepada saya." jawab saya kembali sambil mulut mengunyah nasi.
Kemudian dia diam kira-kira sepuluh saat, mengambil nafas lalu memulakan ceritanya kepada saya,
"Di
Gangnam ada satu pertandingan pelik yang diadakan untuk gadis-gadis
muda untuk menjadi perempuan-perempuan simpanan bagi orang-orang kaya
dan para jutawan. Kebanyakan gadis muda yang menyertai pertandingan
tersebut adalah mereka yang ingin mencuba nasib apabila gagal mendapat
tempat dalam pekerjaan atau terlalu teruja untuk menikmati hidup mewah
bersama orang-orang kaya… mereka dijanjikan dengan hadiah yang sangat
lumayan, kereta mewah, jet peribadi dan rumah besar seperti istana
dengan kolam renang jika memenangi pertandingan tersebut."
Kemudian dia diam lagi... kali ini dia pula meminum minuman 'fresh orange'.. dia diam dengan agak lama tanpa berkata apa-apa.
"Ok, kemudian..?" tukas saya lagi ingin tahu.
"Oh,
ia sesuatu yang amat dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu
menceritakannya kepada kamu. Tapi saya akan cuba ceritakannya juga agar
kamu dapat tahu apa kisah benar yang berlaku.." sambungnya lagi.
"Iya, sila sambung lagi... saya memang ingin tahu tentangnya." balas saya lagi.
"Ok...
Pertandingan itu, untuk sampai ke tempat pertandingan tersebut, para
peserta yang terdiri daripada perempuan-perempuan muda yang cantik
masing-masing dikehendaki menunggung seekor kuda kira-kira 500 meter
dari tempat para peserta berkumpul ke tempat pertandingan yang merupakan
sebuah istana besar dan mewah milik seorang jutawan di Gangnam. Kamu
bayangkan, mereka semuanya menunggang kuda dengan memakai kasut tumit
tinggi, baju jarang dan skirt singkat yang seksi sambil diiringi pihak
penganjur pertandingan dengan helikopter.."
"Setelah
sampai di sana mereka disambut oleh pihak penganjur di istana itu dan
dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan akan melalui dua laluan
yang berbeza. Pertandingannya ialah laluan berhalangan untuk sampai ke
destinasi yang terakhir. Ia seperti pertandingan dalam rancangan ‘Wipe
Out’ di dalam TV jika kamu pernah melihatnya. Setelah sampai di
destinasi terakhir pula, para peserta yang berjaya dari dua kumpulan itu
akan bertarung pula sesama sendiri. Jika pihak lawan tewas maka peserta
yang masih bertahan akan dianggap sebagai pemenang dan mendapat wang
bernilai jutaan USD. Laluan berhalangan itu sangat berbahaya, namun para
peserta hanya melakukannya dengan memakai kasut tumit tinggi dan
pakaian seksi mereka sambil disaksikan dan disorak oleh para jutawan
yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari sebuah ruang balkoni bilik
mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti ianya dirakam ataupun tidak."
"Terus-terang, ia adalah pertandingan membunuh diri yang paling gila…"
"Ok, kemudian.. apa yang berlaku?" tanya saya mencelah dengan rasa teruja.
"Satu
ketika di salah satu trek, para peserta dikehendaki memanjat
palang-palang besi untuk melintasi salah sebuah menara di istana
tersebut, palang tersebut sangat tinggi dan di bawahnya ada kolam
renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan pula menyaksikan aksi-aksi
peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil menikmati hidangan dan
minuman arak yang mahal bersama gadis-gadis mereka."
"Ramai
perserta ketika itu yang terjatuh ke bawah ketika cuba memanjat
palang-palang besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai dan kepalanya
pecah. Ada yang patah tangan dan kaki. Ada yang pecah badannya. Kolam
renang tersebut penuh dengan darah dan ada yang mati lemas ketika jatuh
ke dalamnya setelah gagal untuk berenang keluar dari kolam renang yang
dalam tersebut. Mereka semua para gadis yang tidak berupaya dan mereka
sangat kasihan."
"Yang
lebih keji daripada itu, mereka yang tercedera ketika itu langsung
tidak dibantu.. malah dibiarkan sahaja untuk disorak dan ditertawakan
oleh para jutawan yang melihat mereka sepanjang pertandingan. Akhirnya
apa yang saya tahu, hanya dua orang gadis sahaja yang berjaya melepasi
laluan itu daripada keseluruhan 30 orang gadis yang menyertainya... saya
dikhabarkan walaupun dua gadis itu akhirnya berjaya, mereka kini hidup
dengan trauma dan penuh ketakutan di sisi para jutawan gila tersebut.
Mereka kini hidup seperti hamba di dalam istana zaman purba. Tiada
tamadun dan tiada akhlak... hanya menjadi hamba suruhan lelaki-lelaki
kaya yang merantai hidup mereka sahaja. Lebih malang lagi gadis-gadis
yang sudah terjerumus ke sana tidak boleh lari daripada golongan kaya
gila itu. Jika cuba untuk lari kemungkinan mereka akan dibunuh."
Sampai
di sini tiba-tiba gadis itu sebak... wajahnya berubah dan air matanya
serta-merta mengalir laju dan menangis teresak-esak.
Saya sudah tentu sangat terkejut dengan perubahannya secara tiba-tiba itu, dan cuba memujuknya,
"Hey,
please don't cry here… people will look to us. Please calm down. I'm
sorry so much to make you telling me this story…" kata saya kepadanya
perlahan dengan suara hampir berbisik.
Namun
saya membiarkannya dengan keadaannya itu untuk beberapa ketika.
Kemudian saya berkata kepadanya, "Saya tak tahu apa sebenarnya yang
membuatkan kamu menangis, tapi saya minta maaf banyak-banyak kerana
disebabkan saya kamu menangis. Sebenarnya saya sangat terkejut mendengar
cerita kamu. Ia sesuatu yang sangat dahsyat yang belum pernah saya
mendengarnya sebelum ini.."
"Ia
ok... ia ok... ia ok... (sambil mengesat air matanya dengan sapu tangan
miliknya)... maafkan saya kerana tiba-tiba bersikap pelik tadi. Kamu
tahu, salah seorang gadis yang mati kerana pecah badannya ketika jatuh
di pinggir lantai kolam renang itu ialah adik perempuan saya sendiri...
Ibu saya membunuh diri kerananya dan bapa saya menjadi gila. Setelah ibu
saya membunuh diri bapa saya sakit selama berbulan-bulan lalu akhirnya
meninggal dunia."
Pada
waktu ini dia kembali diam beberapa minit… saya pula tergumam dan tidak
terkata apa-apa… setelah itu dia menarik nafasnya dalam-dalam lalu
menyambung kembali kisahnya,
"Ibu-bapa
saya hanya memiliki dua orang anak perempuan dan adik saya sudah
menjadi mangsa kepada nafsu gila orang-orang kaya Korea."
"Sejurus
selepas tamat pertandingan tersebut, saya dihubungi seorang wanita yang
memberitahu bahawa adik saya telah pengsan dan cedera parah kerana
kemalangan dan saya dikehendaki ke hospital untuk melihatnya. Wanita itu
menyatakan dia mendapat nombor telefon saya daripada adik saya. Apabila
saya dan ibu-bapa saya tiba ke hospital, kami dikhabarkan adik saya
telahpun meninggal dunia. Saya memarahi wanita tersebut dan mendesaknya
bertubi-tubi untuk menceritakan kisah sebenar kepada saya... dan
akhirnya selepas beberapa hari dia menceritakan keseluruhan kisah ini
kepada saya. Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga meraung dan
menangis macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya
sanggup menyertai pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah
sebagai gadis simpanan orang-orang kaya. Namun wanita itu berkata ia
adalah pilihan adik saya sendiri."
"Beberapa
minggu kemudian ibu saya membunuh diri pada satu malam dengan menelan
aspirin sebanyak 200 biji. Keesokan harinya ibu saya koma dan apabila
saya dan bapa menghantarnya ke hospital, pada malam harinya dia
meninggal dunia. Bapa saya pula selepas itu sakit jiwa sebelum mengalami
sakit tenat yang membawanya meninggal dunia. Saya pula hidup tidak
menentu dan mujurlah masih mempunyai seorang sahabat wanita beragama
Islam yang terus berjuang agar saya dapat meneruskan kehidupan dengan
tabah. Berulang-ulang kali dia mengingatkan kepada saya bahawa kehidupan
ini adalah anugerah Tuhan dan orang yang beriman tidak akan berputus
asa."
"Dan kerana itu saya melihat kamu kini sebagai seorang Muslimah..?" saya mencelah ceritanya.
"Alhamdulillah,
terima kasih kepada Tuhan. Sahabat saya itu telah membawa saya berjumpa
dengan seorang imam di bandar Seoul untuk memulihkan semangat hidup
saya. Imam itu mula bercerita kepada saya tentang Allah, Islam dan Nabi
Muhammad. Saya menerima segala ajarannya dengan lapang hati seakan-akan
ia satu-satunya pilihan yang ada. Benar, Islam adalah satu cahaya yang
sangat terang seperti matahari dan mendamaikan seperti bulan purnama
yang kembali menyuluh seluruh hidup saya dan saya terus berubah kepada
agama ini tanpa ragu-ragu. Dan kamu tahu tak, jiwa saya berasa
sangat-sangat tenang dan damai ketika mendengar ayat-ayat Al-Quran yang
berkumandang di ibu pejabat markaz Islam di bandar Seoul. Imam itu salah
seorang ahli pengurusnya. Saya tidak pernah mendengar muzik-muzik yang
sangat indah seperti ayat-ayat Al-Quran sebelum ini dalam hidup saya."
Kini
suara gadis itu kembali gagah seraya berkata, "Alhamdulillah, saya
bersyukur kerana diselamatkan Tuhan dan kembali dihidupkan semula
sebagai seorang Islam setelah saya kehilangan segala-galanya akibat
kekeringan jiwa masyarakat dunia terutama masyarakat Korea yang hidup
sesat tanpa agama. Mereka semua telah sesat tanpa panduan hidup yang
benar daripada Tuhan."
Setelah itu dia diam dan meminum minumannya...
"Kisah
kamu amat menarik tetapi menakutkan. Adakah kamu sudah mengambil
tindakan undang-undang bagi pihak adik kamu, atau melaporkannya kepada
media atau berbuat sesuatu?" ujar saya kembali kepadanya.
"Lupakan
sahajalah, saya sudah melaporkannya kepada pihak polis, sudah
menceritakannya kepada beberapa orang wartawan dan melaporkannya secara
bersumpah kepada beberapa orang peguam. Pihak polis enggan melakukan
pendakwaan kerana tiada bukti-bukti yang kukuh mengenainya. Tiada video
dan tiada saksi-saksi lain yang mahu tampil kepada pihak berkuasa selain
saya. Mungkin ada namun ia tidak memadai. Wanita yang membawa adik saya
ke hospital itu juga sudah menghilangkan diri. Saya cuba menghubungi
nombor telefon bimbitnya berali-kali namun dia tidak dapat dihubungi.
Kali terakhir saya mendengar tentangnya melalui seorang peguam yang
mendapat khabarnya daripada seorang detektif polis ialah dia sudah
meninggal dunia akibat kemalangan. Para peguam lain dan wartawan yang
saya ceritakan kisah ini kepada mereka kesemuanya telah diugut untuk
tidak mendedahkannya kepada umum. Mungkin begitu juga yang terjadi
kepada mangsa-mangsa yang lain. Laporan polis di sana pula menyatakan
gadis-gadis yang meninggal dunia akibat cedera parah itu adalah kerana
rabung palang-palang besi di istana itu roboh ke bawah ketika mereka
semua sedang berada di atasnya kerana ketika pihak polis sampai di sana
palang-palang besi itu sudah pun dirobohkan. Manakala mangsa-mangsa yang
masih hidup setelah kecederaan masih mengalami trauma yang dahsyat dan
ada yang cacat seumur hidup walaupun mereka mendapat bayaran ganti rugi
insurans yang banyak. Apa yang saya tahu mereka semuanya diugut akan
dibunuh jika mendedahkan peristiwa sebenar kepada pihak polis. Yang
pasti di sana wujud monster-monster besar yang menutupi kes ini termasuk
menteri-menteri kerajaan… ia berkaitan dengan wang dan kuasa. Dan sudah
tentu kamu tahu apa yang wang dan kuasa boleh buat pada kita." jawabnya
lagi dengan panjang lebar yang sarat dengan hujah.
"Oh,
ok... ianya sesuatu yang gila pernah saya dengar. Jadi sekarang berapa
umur kamu dan mengapa kamu berada di Malaysia? Dan... apa yang kamu
sedang buat di Malaysia sekarang? Dan lagi… bilakah peristiwa sedih itu
berlaku?" tanya saya bertubi-tubi kepadanya dengan rasa ingin lebih
tahu.
"Kamu agak saya berumur berapa…?"
"Saya tidak mahu mengagak dan saya tidak tahu berapa umur kamu."
"Kisah
sedih itu hanya berlaku pada tahun lepas, dan saya tidak mahu sebut apa
bulan dan harinya. Cukuplah kamu tahu ia berlaku pada tahun lepas. Kini
saya berumur 29 tahun dan saya di berada di Malaysia kerana ingin cuba
mendaftar kursus bahasa Arab di ******* University dengan sahabat wanita
Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya bertemu-janji dengannya untuk
bertemu di sini. Kami rakan serumah dan dia tadi menziarahi rakan kami
orang Malaysia di kawasan ini. Saya sampai ke sini lewat sedikit dengan
teksi.” jawabnya berterus-terang dengan nada jujur.
"Oh,
kamu sungguh berani. Di Malaysia tidak ramai wanita yang berani naik
teksi seorang diri pada waktu malam. Terima kasih kerana menceritakan
kisah ini kepada saya.. saya amat menghargainya dan mudah-mudahan suatu
hari Allah akan membalas dendam untuk kamu dan mangsa-mangsa lain yang
telah teraniaya..." kata saya lagi kepadanya sambil mengangguk-angguk.
"Sudah
tentu...! Suatu hari nanti semua orang dan dunia akan tahu mengenai
kejahatan tersembunyi di bandar Gangnam yang dilaknat itu!" tukasnya
dengan nada yang keras.
"Kamu
ingat artis yang mecipta lagu Gangnam gila itu menyukai cara hidup
bandar Gangnam..? Saya rasa dia amat sinis tentangnya dan dia pernah
berasa tertekan dengan cara hidup di sana.. namun kini dia sudah menjadi
sebahagian daripada mereka. Semoga Tuhan melaknat mereka semua. Saya
menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas segala kejahatan mereka."
"Whoa...
kamu nampaknya sangat marah dengan Gangnam..." balas saya sambil
mengangkat kedua-dua kening dan menyedut jus tembikai susu yang masih
berbaki menggunakan straw.
"Oh, jangan kamu berpura-pura seperti tiada perasaan dan tidak mempunyai perikemanusiaan.." balasnya pantas kepada saya.
"Tidak,
tidak... saya benar-benar terkejut dan simpati dengan kisah kamu.
Bahkan di sebalik itu, saya dapat melihat kamu seorang yang tabah, kuat
dan berani." balas saya kembali untuk menenangkannya.
"Oh
ya, adakah kamu datang sini dengan biaya sendiri? Bagaimana dengan
suami kamu dan kerjaya kamu di Korea?" tanya saya kepadanya dengan
meneka-neka.
"Hahaha,
saya masih belum bersuami dan saya telah menjual segala apa yang saya
ada di Korea untuk datang ke sini. Saya mahu belajar bahasa Arab di sini
dan merancang mahu ke Mesir atau ke Islamic Center di Chicago selepas
ini untuk belajar lebih banyak tentang Islam di sana. Kamu juga tahu,
Timur Tengah kini tidak stabil dan saya masih ragu-ragu untuk ke Timur
Tengah. Imam yang mengislamkan saya itu pernah memberitahu saya bahawa
dahulunya dia belajar bahasa Arab dan agama Islam di Syria di sebuah
universiti yang namanya An-Nur." jawabnya dengan reaksi yang kembali
ceria sambil tersenyum.
"Oh dulu saya juga pernah belajar di Syria, dan universiti itu namanya Universiti Abu Nur." jawab saya.
"Oh
benarkah? Ceritakan kepada saya tentang Syria... saya bertuah bertemu
dengan kamu." tukasnya teruja dengan muka yang sangat gembira.
Sesampainya
di sini perbualan kami mula bertukar topik kepada isu Syria dan
pergolakan di Timur Tengah serta topik-topik lain yang sudah tiada
kena-mengena dengan Gangnam. Saya juga bercerita sedikit sebanyak
tentang latar belakang diri saya kepadanya sebagai membalas kisah
hidupnya yang telah dia ceritakan kepada saya.
Lama
juga kami bersembang sejak jam 9.00 malam tadi. Kira-kira jam 10.30
malam rakan gadis itu datang ke kawasan kedai tersebut dan gadis itu
meminta izin untuk pergi. Dia membayar segala pesanan makanan saya dan
memperkenalkan dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama Nadiah.
Katanya nama mereka berdua diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka
di bandar Seoul merangkap guru murabbi mereka di Korea Selatan. Saya
pula beruntung kerana makan malam saya ada orang belanja.
Kedua-dua
mereka pernah lahir sebagai manusia yang tidak pernah menganut sebarang
agama di Korea namun kini Allah telah memuliakan mereka dengan agama
Islam yang suci. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita Sofiyyah
tentang kisah yang berlaku kepada adiknya di Gangnam. Kebenaran kisah
tersebut saya serahkannya bulat-bulat kepada Allah. Namun saya berminat
untuk kongsikan kisah ini kepada para pembaca agar para pembaca dapat
membuat penilaian sendiri. Kisah tersebut mungkin benar dan mungkin
tidak benar. Namun, di sebalik kisah yang saya pindahkan daripada
Sofiyyah ini, dapatlah kita mengetahui sesuatu dan menjadikannya sebagai
pengajaran.
Apa
yang saya suka kongsi satu iktibarnya ialah, saya melihat betapa
Sofiyyah amat bersyukur dan menghargai nikmat Islam yang dikurniakan
Allah kepadanya. Dia sanggup meninggalkan negerinya dan menjual segala
hartanya demi mempelajari bahasa Arab di bumi Malaysia bagi memahami
Al-Quran, malah dia bercita-cita untuk terus mengembara bagi mempelajari
ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang pendakwah Muslimah di negara Korea
untuk Islamkan lebih ramai penduduk Korea. Dia seorang yang amat berani,
tabah dan cekal. Lihat saja, bagaimana dia seorang diri berani menyapa
seorang lelaki asing seperti saya di awal kisah tadi. Apa yang saya
lihat padanya, tiada sebarang ketakutan di dalam dirinya dan harapan
hidupnya telah seratus-peratus diserahkan kepada Allah. Dia telah
menjual seluruh jiwa dan raganya hanya kepada Allah semata-mata. Di
sebalik kekuatan dirinya sekarang, saya juga yakin di belakangnya ada
seorang murabbi mursyid yang hebat, iaitu sang imam yang telah
mengislamkannya. Biasanya di sebalik orang-orang yang hebat, di belakang
mereka sudah tentu ada para pendidik yang jauh lebih hebat lagi. Di
dalam hati saya berkata sudah tentu peribadi sang imam itu lebih hebat
lagi kerana berjaya membaiki diri Sofiyyah menjadi lebih kuat
sepertimana sekarang. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk memulihkan,
mendidik dan membangunkan jiwa manusia yang sudah rosak teruk seperti
Sofiyyah dan menjadikannya seorang srikandi yang gagah perkasa jiwanya.
Sepanjang
berjalan kaki pulang ke rumah, saya banyak tertanya-tanya di dalam hati
betapa kita ini begitu leka dan tidak bersyukur dengan nikmat beragama
Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita sejak kita dilahirkan ke
alam dunia.
Di
dalam hati saya sepanjang pulang, "Allahu Rabbi.... alhmdulillah,
alhamdulillah, alhamdulillah." Sambil kaki saya sekali-sekala menyepak
batu-batu kecil di jalanan dan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam
poket jubah putih kiri dan kanan seraya muka menunduk ke arah tanah...
Sehingga
saat ini saya masih tetap berfikir sendirian, kisah Sofiyyah ini ialah
apa yang saya dengar berlaku di negara Korea yang maju.. bagaimana pula
dengan kisah-kisah gelap seperti kisah gadis-gadis Melayu Islam yang
menjadi pelacur kelas atasan di negara kita. Sudah tentu banyak juga
kisah-kisah gelap yang tidak pernah kita dengar tentang mereka. Sebelum
ini saya pernah juga mendengar mengenai kisah-kisah kongsi gelap di
negara kita yang dilindungi oleh orang-orang besar.
NOTE:AKU TK TAHU LAH CRITE NIE BETUL KE TAK JUST SAJE KONGSI DARI MEMBER2 JEA,KLAU BETUL JADIKAN KISAH TAULADAN..KLAU TAK,KORANG ANGGAP JEA LAH MCM CRITE OMBAK RINDU WOKEHH..